Sukan Silat Olahraga dan Tanding di Malaysia

Posted on

Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie
Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
nizam7907@salam.edu.my
Mohd Shahiid Elias
Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
admin@senigayungfatani.com
Dr. Vincent Parnabas
Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
vincent@salam.uitm.edu.my
Nagoor Meera Abdullah
Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
nagoor@salam.uitm.edu.my

ABSTRAK
Silat adalah merupakan seni mempertahankan diri bangsa Melayu. Pada zaman Melayu tradisi, seni mepertahankan diri ini digunakan oleh orang-orang perang untuk menakluk sesuatu kawasan atau jajahan bagi meluaskan pengaruh sesuatu empayar.

Setelah merdeka, silat digunakan lebih kepada bentuk persembahan (silat pulut) di majlis-majlis rasmi dan majlis perkahwinan. Pada awal tahun 1980an, sukan Silat Olahraga telah mula dipertandingkan selaku sukan mempertahankan diri bangsa Melayu.

Sukan berbentuk tempur ini adalah medan untuk para pesilat dari seluruh negara bertanding untuk menguji tahap kecekapan masing-masing dalam mengaplikasikan teknik silat mengunakan satu set siri peraturan yang telah ditetapkan oleh badan sukan silat antarabangsa. Sukan ini memperlihatkan ciri-ciri budaya Melayu melalui pertarungan di antara 2 pesilat daripada sudut merah dan sudut biru.

Secara tidak langsung, ia menampakkan ciri-ciri seni dan rupa sesuatu perguruan silat itu sendiri melalui cara perlakuan langkah, kuda kuda, limbai tangan dan cara menerima serangan dan belaan yang dilakukan. Para pesilat berpeluang menunjukkan kemahiran yang dipelajarinya dalam perguruan persilatan dan diaplikasikan ke dalam sukan Silat Olahraga.

Walau bagaimanapun sejak akhir-akhir ini identiti sukan silat olahraga telah mula dipersoalkan apabila pihak Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa menukar kaedah permainan silat itu sendiri dan dijenamakan semula selaku sukan Tanding.

Paling ketara apabila kaedah pemarkahan yang menitik beratkan konsep pertandingan sukan tempur Melayu iaitu kerapian seni sudah tidak diguna-pakai dalam kaedah pemarkahan terkini menjadikan sukan ini menyerupai pertandingan sukan tempur yang lain iaitu taekwondo, karate, MMA dan Muay Thai.

Hasilnya sukan Tanding menghilangkan unsur-unsur seni budaya Melayu yang selama ini dipertandingkan di peringkat nasional (Malaysia) ataupun antarabangsa.

Maklumat lanjut:

Kajian ini telah dibentangkan di International Conference of Malay Heritage and Civilization (ICOMHAC), UiTM Cawangan Kedah-INSPIN 2015.

Shapie, M.N.M., Elias, M.S., Parnabas, V. and Abdullah, N.M. (2015). Perbandingan Sukan Silat Olahraga dan Tanding di Malaysia). International Conference of Malay Heritage and Civilization (ICOMHAC), Century Helang Hotel, Pulau Langkawi, Kedah, Malaysia, 16-17 December.