oleh : Jamiaton Kusrin, FSR UiTM Shah Alam, Selangor
Pendahuluan
Silat bukan sekadar satu bentuk seni mempertahankan diri — ia adalah warisan, budaya, dan sistem pembinaan sahsiah yang kaya dengan nilai. Di sebalik kemajuan pesat Silat Malaysia dalam dunia sukan moden, berdirinya seorang tokoh berwawasan yang telah mendedikasikan hidupnya demi mengangkat martabat silat ke peringkat antarabangsa. Tokoh itu ialah Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie, Presiden Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA Malaysia).
Dengan latar belakang akademik yang kukuh, pengalaman luas dalam dunia silat sejak 1997, serta pengiktirafan global dalam bidang sains sukan dan seni bela diri, beliau telah memacu transformasi silat daripada seni tradisi kepada sukan berprestij bertaraf dunia. Artikel ini mengupas perjalanan hidup beliau, sumbangan akademik dan profesionalnya, serta impaknya terhadap pembangunan belia dan diplomasi budaya Malaysia.
Latar Belakang dan Asas Pendidikan
Beliau berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan anak sulung daripada empat beradik. Sejak kecil, beliau sering berulang-alik ke kampung keluarganya di Pulau Pangkor, Perak, kerana dihantar oleh ibu bapanya setiap cuti sekolah untuk mempelajari dan menjiwai cara hidup di kampung nelayan. Di sana, beliau membantu datuk dan neneknya berniaga di kedai runcit bersebelahan dengan rumah mereka di Kampung Masjid, Pulau Pangkor. Rumah nenek beliau terletak bersebelahan kedai tersebut, menjadikan persekitaran kampung sebagai ruang pembelajaran awal dalam kehidupan, budaya, dan nilai masyarakat desa yang merendah diri dan saling bantu-membantu. Pengalaman yang banyak membentuk jati diri, etika kerja dan pemahaman beliau terhadap nilai kehidupan masyarakat desa.
Bukan setakat itu, beliau dan adik-beradiknya juga menaiki kenderaan awam untuk ke sekolah mereka di Kuala Lumpur yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka — satu pengalaman yang mengajar mereka erti kesabaran, disiplin dan tanggungjawab sejak usia muda. Ibu bapa beliau pula memberikan didikan dan bimbingan secara langsung demi memastikan kejayaan anak-anak mereka dalam bidang akademik dan sukan, membentuk asas kekuatan keluarga yang teguh dan berprinsip. Sejak kecil, beliau didedahkan kepada disiplin dan nilai keteguhan semangat melalui penglibatan dalam aktiviti sukan. Bukan setakat itu, beliau dan adik-beradiknya juga menaiki kenderaan awam untuk ke sekolah mereka di Kuala Lumpur yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka — satu pengalaman yang mengajar mereka erti kesabaran, disiplin dan tanggungjawab sejak usia muda. Ibu bapa beliau pula memberikan didikan dan bimbingan secara langsung demi memastikan kejayaan anak-anak mereka dalam bidang akademik dan sukan, membentuk asas kekuatan keluarga yang teguh dan berprinsip.
Selepas menamatkan persekolahan, beliau menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Genetik. Namun minat dan kecenderungannya yang mendalam terhadap sukan dan seni mempertahankan diri mendorong beliau untuk menyambung pengajian seterusnya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Sains Sukan (Sarjana) dengan cita-cita menyambung kajian PhD dalam bidang persilatan. Di sinilah penglibatan beliau dalam dunia silat menjadi lebih serius dan tersusun. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD dan akhirnya meraih Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Cardiff Metropolitan University, United Kingdom, dalam bidang analisis prestasi sukan dengan fokus kepada silat olahraga.
Pendidikan tinggi yang diraih bukan sahaja menjadikan beliau tokoh akademik, tetapi juga membina asas yang kukuh dalam memformulasi sistem latihan silat berasaskan sains dan data — satu kelebihan besar dalam dunia seni mempertahankan diri moden.
Sejak tahun 1992, beliau telah berguru dengan Allahyarham Tuan Guru Anuar Abd Wahab, pengasas silat olahraga Malaysia dan juga tokoh besar dalam Silat Melayu Asli Semenanjung yang bertunjangkan seni perang Melayu asli. Hubungan guru dan murid ini berlangsung selama bertahun-tahun, membentuk jati diri serta pemahaman mendalam beliau terhadap warisan silat Melayu yang tulen. Bimbingan daripada tokoh sehebat ini menjadi teras kepada visi besar beliau untuk memartabatkan silat Malaysia dalam acuan yang tersendiri.
Antara tahun 1997 hingga 2007, beliau aktif membantu melatih hampir 50 gelanggang silat yang berada di bawah pemantauan langsung Allahyarham Tuan Guru Anuar Abd Wahab. Walaupun ketika beliau telah menetap di Eropah untuk menyambung pengajian, hubungan dengan gurunya tetap terjalin erat sehingga ke akhir hayat. Apabila berita pemergian gurunya diterima pada tahun 2009, beliau segera pulang ke tanah air untuk memberi penghormatan, walaupun jenazah telah selamat dikebumikan. Pengorbanan dari segi masa, wang ringgit dan tenaga demi menghormati guru tercinta ini dikongsi bersama para penyelia akademik beliau di luar negara, serta anak-anak murid silat di Malaysia dan komuniti antarabangsa.
Sejak itu, beliau meneruskan legasi gurunya dengan mengembangkan silat Malaysia ke serata dunia melalui pendekatan akademik dan diplomasi budaya. Semangat perjuangan gurunya kekal menjadi inspirasi dalam setiap langkah beliau sebagai pemimpin silat moden.
Penglibatan Dalam Dunia Kejurulatihan Silat Sejak 1997
Tahun 1997 menandakan permulaan perjalanan beliau dalam dunia kejurulatihan silat yang lebih sistematik dan meluas. Ketika itu, beliau bukan sahaja aktif sebagai pesilat universiti, tetapi juga mula dipertanggungjawabkan untuk membantu melatih dan mengendalikan sesi latihan di gelanggang-gelanggang silat yang berada di bawah pengawasan gurunya, Allahyarham Tuan Guru Anuar Abd Wahab. Kepercayaan yang diberikan sejak usia muda ini menjadi asas kepada kematangan beliau dalam memahami kaedah pengurusan latihan dan pembangunan pesilat. Beliau bersama-sama GM Mohd Shahiid Elias berguru secara langsung dengan Allahyarham Tuan Guru Anuar Abd Wahab dan Allahyarham Tuan Guru Salehuddin Abd Wahab. Kedua-dua tokoh ini banyak memberikan impak dalam pengembangan mereka selaku atlet dan jurulatih muda pada masa yang sama.
Sepanjang lebih dua dekad, beliau terlibat secara langsung dalam melatih pasukan-pasukan silat peringkat negeri dan kebangsaan, termasuk kontinjen untuk temasya SUKMA. Beliau juga pernah dilantik sebagai penasihat teknikal bagi pelbagai program pembangunan belia dan silat remaja. Melalui pengalaman ini, beliau membentuk pendekatan latihan yang berteraskan prinsip sains sukan, analisis prestasi dan pemupukan nilai sahsiah dalam kalangan pesilat muda.
Selain daripada pelatih tempatan, beliau turut melatih pesilat luar negara dari Jepun, Korea, Poland dan Perancis. Sumbangan ini membuktikan kemampuan beliau dalam menjadikan silat Malaysia diterima secara profesional dan tersusun di peringkat antarabangsa. Kepimpinan beliau dalam bidang kejurulatihan juga membuka laluan kepada pembinaan modul-modul latihan rasmi di bawah PESONA Malaysia dan kerjasama dengan pelbagai institusi latihan sukan dalam dan luar negara.Selain itu, beliau juga aktif dalam melatih pesilat dari luar negara termasuk Jepun, Korea, Poland, dan Perancis — membuktikan kebolehan beliau sebagai duta silat Malaysia yang berjaya.
Pelantikan sebagai Presiden PESONA Malaysia
Pelantikan beliau sebagai Presiden PESONA Malaysia pada tahun 2020 adalah hasil daripada komitmen luar biasa beliau dalam memperjuangkan silat sebagai sukan profesional dan platform pembinaan bangsa. Di bawah kepimpinannya, PESONA telah melalui pelbagai fasa pembaharuan termasuk penstrukturan semula kurikulum kejurulatihan, pemerkasaan program pembangunan belia dan peluasan pengaruh silat Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sebagai Presiden, beliau memberi penekanan terhadap profesionalisme dalam pengurusan sukan silat serta membangunkan ekosistem yang menyokong jurulatih, pengadil, atlet dan pegawai teknikal secara menyeluruh. Perubahan dasar yang diperkenalkan telah memperkukuhkan kedudukan PESONA sebagai badan rasmi yang diyakini oleh kerajaan dan masyarakat.
Visi beliau adalah menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan silat olahraga dunia, dan usaha ini dilaksanakan melalui kolaborasi dengan agensi antarabangsa, institusi akademik dan komuniti silat global.
Sumbangan kepada Belia dan Negara
Prof. Dr. Mohamad Nizam percaya bahawa silat mampu menjadi instrumen pembangunan belia yang efektif. Melalui program seperti Liga Remaja Silat, Bengkel Kejurulatihan Silat Malaysia Tahap 1–3, dan Kem Pembangunan Atlet Muda, beliau membentuk generasi pesilat yang bukan sahaja cergas secara fizikal tetapi juga kukuh dari segi jati diri dan etika.
Beliau banyak terlibat dalam kerja-kerja kebajikan ketika menjadi Felo di Universiti Malaya sekitar tahun 2009 hingga 2012. Ketika itu, beliau aktif bersama gelandangan, golongan miskin bandar, ibu tunggal dan anak-anak yatim dalam pelbagai program sosial. Tidak hanya melalui penglibatan fizikal, beliau juga secara peribadi menyumbangkan wang ringgit kepada badan bukan kerajaan (NGO) silat yang aktif dalam usaha mengembangkan Silat Melayu di seluruh negara.
Ramai yang terlepas pandang sumbangan-sumbangan beliau ini apabila mereka berada di puncak kejayaan. Namun begitu, beliau tetap berpegang teguh kepada pendirian hidupnya — untuk membangunkan, memelihara, memulihara dan mengembangkan silat sebagai warisan bangsa di peringkat global.
Beliau sentiasa menekankan nilai-nilai warisan, kepimpinan dan semangat kenegaraan dalam setiap program latihan. Inisiatif ini telah membantu ramai belia menjauhi gejala sosial dan membina masa depan melalui sukan silat. Beliau turut terlibat secara langsung dalam program komuniti dan inisiatif pembudayaan silat di sekolah serta institusi pengajian tinggi.
Sumbangan beliau menjadikan silat satu medium pengukuhan identiti nasional dan alat diplomasi budaya yang efektif.
Penyelidikan dan Penerbitan Akademik
Di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, Prof. Dr. Mohamad Nizam bersama rakan-rakan telah menubuhkan Martial Arts and Combat Sports Research Network (AIRBORNE), sebuah kumpulan penyelidikan yang bertujuan untuk menghimpunkan akademik, penyelidik dan praktisioner dari pelbagai latar untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang seni mempertahankan diri dan sukan tempur merangkumi sains sukan, sains sosial, inovasi, kecederaan sukan dan pelancongan budaya.
Beliau juga pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Koordinator Penyelidikan, ICAN, MyRA, Koordinator Ranking Champion, Koordinator Alumni, dan terbaru sebagai Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri di fakulti yang sama. Sumbangan beliau telah membantu menaikkan penarafan fakulti dan universiti dalam pelbagai indeks kecemerlangan penyelidikan serta memperkukuh jaringan kolaborasi dalam dan luar negara.
Sebagai ahli akademik yang aktif, Prof. Dr. Mohamad Nizam telah menghasilkan lebih 150 artikel jurnal, bab buku, dan kertas persidangan berkaitan silat, sains sukan dan pendidikan. Beliau juga sering dijemput sebagai pakar rujuk (reviewer), hakim pertandingan inovasi, penilai penyelidikan pascasiswazah serta pemeriksa luar (external examiner) untuk tesis sarjana dan doktor falsafah. Di samping itu, beliau turut menjadi pakar rujuk kepada para pengamal silat mengenai halatuju kerjaya dalam bidang persilatan dan bagaimana impak kerjaya tersebut dapat dimaksimumkan melalui pendekatan sains sukan. Sejak 13 tahun yang lalu, ramai individu dan pertubuhan silat dalam dan luar negara telah menerima bimbingan, khidmat nasihat dan tunjuk ajar beliau dalam membina kerjaya yang mampan berasaskan silat.
Sumbangan beliau merentasi pelbagai bidang — dari akademik hingga ke inovasi antarabangsa — menjadikan beliau figura penting dalam ekosistem penyelidikan silat dan sains sukan.
Antara penerbitan penting beliau ialah kajian tentang profil pergerakan dalam pertandingan silat, ciri-ciri kecergasan pesilat muda, serta pembangunan kurikulum silat Malaysia. Penulisan beliau telah diterbitkan di jurnal-jurnal antarabangsa seperti Journal of Combat Sports and Martial Arts, Revista de Artes Marciales Asiáticas, dan Ido Movement for Culture. Penyelidikannya bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan kurikulum, tetapi juga membina landasan saintifik untuk menjadikan silat diterima sebagai sukan prestasi oleh badan antarabangsa.
Karya beliau turut dijadikan rujukan oleh pelajar sarjana dan PhD serta menjadi sumber bagi pembentukan dasar pembangunan sukan silat di Malaysia dan antarabangsa. Ramai pelajar beliau datang dari seluruh dunia, termasuk negara-negara utama yang mengamalkan pencak silat. Mereka menagih kepakaran beliau bagi diaplikasikan dalam sistem sukan pencak silat tanding yang kini banyak menerima kritikan susulan perubahan terhadap tatacara dan sistem pertandingan. Pendekatan akademik dan saintifik beliau telah memberi nafas baharu dalam memperkemas dan memperkukuh struktur sukan silat secara global. bab buku, dan kertas persidangan berkaitan silat, sains sukan dan pendidikan. Antara penerbitan penting beliau ialah kajian tentang profil pergerakan dalam pertandingan silat, ciri-ciri kecergasan pesilat muda, serta pembangunan kurikulum silat Malaysia.
Penulisan beliau telah diterbitkan di jurnal-jurnal antarabangsa seperti Journal of Combat Sports and Martial Arts, Revista de Artes Marciales Asiáticas, dan Ido Movement for Culture. Penyelidikannya bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan kurikulum, tetapi juga membina landasan saintifik untuk menjadikan silat diterima sebagai sukan prestasi oleh badan antarabangsa.
Karya beliau turut dijadikan rujukan oleh pelajar sarjana dan PhD serta menjadi sumber bagi pembentukan dasar pembangunan sukan silat di Malaysia.
Anugerah dan Pengiktirafan Antarabangsa
Pengiktirafan terhadap sumbangan beliau bukan sahaja datang dari dalam negara, tetapi juga dari luar. Pada tahun 2021, beliau menerima pelantikan sebagai Special Advisor in Silat daripada UNESCO International Centre of Martial Arts for Youth Development and Engagement (UNESCO-ICM) atas sumbangannya dalam mengembangkan seni bela diri Asia. Sebelum itu, beliau juga telah dianugerahkan Tokoh Penyelidik Silat Malaysia 2022 daripada PSGFM serta menjadi penerima Anugerah Akademik UiTM.
Beberapa lagi anugerah dan pengiktirafan penting termasuk:
- Expert Professor of Martial Arts, European Martial Arts Committee, Rzeszow, Poland (2022) — gelaran ini membawa pengiktirafan rasmi sebagai ‘Professor of Martial Arts’, yang hanya diberikan kepada 15 individu dari seluruh dunia dalam bidang seni mempertahankan diri.
- Pendeta Silat Malaysia & Antarabangsa, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM), Kuala Lumpur, Malaysia (2020)
- The Golden Medal of Honour and Merit, International Martial Arts & Combat Sports Scientific Society International, Poland (2022)
- Grandmaster in The Congress and Gala, 4th, 5th & 6th World Scientific Congress of Combat Sports and Martial Arts, Poland (2014, 2018, 2022)
- Special Award as President of IMACSSS International Conference 2020 & 2024 oleh International Martial Arts and Combat Sports Scientific Society (IMACSSS), Poland
- Certificate of Honour dari UNESCO International Centre of Martial Arts for Youth Development and Engagement (UNESCO-ICM) atas sumbangan dalam pembangunan seni bela diri berasaskan nilai
Penglibatan beliau sebagai penceramah utama dan panel di Jepun, Korea Selatan, Poland, Portugal dan Indonesia telah mengangkat nama Malaysia sebagai hab pendidikan dan penyelidikan silat bertaraf dunia. Beliau juga sering menjadi jemputan tetap dalam forum-forum antarabangsa berkaitan sains sukan dan seni mempertahankan diri.
Pengiktirafan ini membuktikan bahawa peranan beliau bukan hanya di peringkat nasional, tetapi menjangkau pengaruh antarabangsa yang luas.
Kerjasama Strategik dengan UNESCO International Centre of Martial Arts for Youth Development and Engagement (UNESCO-ICM) dan IMACSSS
Salah satu kejayaan terbesar Prof. Dr. Mohamad Nizam adalah jalinan kerjasama dengan UNESCO International Centre of Martial Arts for Youth Development and Engagement (UNESCO-ICM). Melalui kerjasama ini, beliau terlibat dalam perbincangan global berkaitan penggunaan seni bela diri untuk pembangunan belia, keamanan dan pendidikan nilai sejagat.
Sebagai Board Member International Martial Arts and Combat Sports Scientific Society (IMACSSS), beliau turut mempelopori pelbagai projek antarabangsa termasuk persidangan, penerbitan dan kursus penyelidikan. IMACSSS telah menjadi jambatan antara silat Malaysia dengan komuniti penyelidik seni bela diri dari lebih 30 negara.
Kolaborasi ini juga meletakkan nama Malaysia sebagai pusat rujukan akademik dan praktikal dalam pembangunan seni mempertahankan diri moden.
Baru-baru ini, beliau dan rakan-rakan dari Sumatera, Indonesia telah bergabung dan menjadi pakar rujuk untuk pelaksanaan sebuah persidangan antarabangsa dalam bidang seni mempertahankan diri yang akan diadakan di Indonesia pada tahun 2027. Persidangan ini bakal menampilkan ramai pakar seni bela diri dari seluruh dunia, merangkumi tokoh-tokoh dalam bidang akademik dan industri, sekaligus memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang penyelidikan dan pembangunan seni bela diri.
Sebagai bukti komitmen dan kepercayaan antarabangsa terhadap kepimpinannya, Prof. Dr. Mohamad Nizam telah berjaya memperoleh tiga geran antarabangsa daripada UNESCO International Centre of Martial Arts for Youth Development and Engagement (UNESCO-ICM), dengan jumlah keseluruhan hampir RM400,000 yang disalurkan kepada UiTM dan badan bukan kerajaan (NGO) silat. Geran-geran ini digunakan khusus untuk pembangunan Silat Melayu melalui pendekatan penyelidikan, pendidikan, dan penglibatan belia secara global.
Memartabatkan Silat Malaysia di Mata Dunia
Misi utama beliau adalah menjadikan silat Malaysia sebagai sukan bertaraf dunia yang diiktiraf seperti Taekwondo dan Judo. Usaha ini dilaksanakan melalui pembangunan sistem pemarkahan, modul latihan, kursus kejurulatihan, dan pengurusan kejohanan bertaraf antarabangsa.
Di bawah kepimpinannya, PESONA telah berjaya melebarkan jaringan ke lebih 50 negara termasuk Jepun, Poland, Korea Selatan, Brazil, Perancis dan Syria. Beliau juga membangunkan kandungan digital dan platform e-Silat bagi memudahkan akses latihan dan pengiktirafan secara global.
Usaha beliau meletakkan Malaysia sebagai kuasa utama dalam dunia silat olahraga moden.
Tokoh Inspirasi kepada Generasi Baharu dan Dunia Seni Bela Diri
Selain kejayaan peribadi dan profesional beliau, Prof. Dr. Mohamad Nizam turut mencurahkan perhatian dan kasih sayangnya terhadap pembangunan keluarga melalui silat. Kelima-lima anak beliau telah aktif dalam dunia persilatan sejak 19 tahun yang lalu. Setiap seorang daripada mereka telah berjaya mencapai tahap bengkung hitam seawal usia 13 tahun, membuktikan komitmen tinggi terhadap latihan dan pembinaan diri melalui silat.
Ada dalam kalangan anak beliau yang telah bergelar jurulatih bertauliah, serta menjuarai kejohanan silat peringkat kanak-kanak, remaja, dan belia di peringkat negeri dan kebangsaan. Komitmen ini menunjukkan bahawa silat bukan sekadar warisan keluarga, tetapi juga gaya hidup dan landasan pembentukan sahsiah dalam institusi keluarga yang dipelopori beliau.
Prof. Dr. Mohamad Nizam bukan sahaja disegani dalam kalangan ahli akademik dan pentadbir sukan, tetapi juga dijadikan idola oleh ribuan pesilat muda. Kepimpinannya mencerminkan gabungan nilai Melayu, sains moden, dan pemikiran strategik yang diperlukan dalam dunia global hari ini.
Beliau membuktikan bahawa seni bela diri boleh menjadi saluran kerjaya yang profesional, bermanfaat dan dihormati, bukan sekadar hobi atau warisan yang dilupakan. Melalui contoh peribadi dan ketekunan beliau, ramai anak muda mula melihat silat sebagai jalan masa depan yang penuh harapan.
Dalam kalangan pengamal seni bela diri lain, beliau dihormati sebagai tokoh yang membawa pendekatan inklusif dan berilmu dalam memartabatkan seni warisan Melayu.
Penutup
Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie adalah lambang pemodenan silat Malaysia. Dengan visi yang luas, latar belakang akademik yang kukuh, dan semangat juang yang tidak pernah luntur, beliau telah menjadikan silat sebagai kebanggaan negara di pentas dunia. Beliau bukan sahaja mengajar dan melatih, tetapi telah membina sistem, memimpin organisasi, dan menyatukan masyarakat melalui seni bela diri.
Tokoh seperti beliau wajar dihargai dan dijadikan inspirasi — bukan sahaja kepada pesilat, tetapi kepada semua rakyat Malaysia yang ingin melihat warisan bangsa berdiri megah di persada antarabangsa.
